KUCHING: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengadakan mesyuarat khas Imunisasi dan Pengurusan Pandemik bersama ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya pada Ahad.
Rombongan KKM diketuai Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan turut disertai Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Dagang dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Mesyuarat khas diadakan bertujuan untuk memberi fokus kepada beberapa perkara mengenai pengurusan COVID-19 dan perkembangan terkini Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di negeri ini.
“Sarawak akan mula memberikan pemberian dos penggalak pada bulan Oktober nanti dan ianya memberi fokus kepada kumpulan berisiko tinggi yang berusia 60 tahun ke atas dan mempunyai komorbiditi yang serius jika sudah siap garis panduan klinikal.
“Usaha ini adalah untuk memastikan bahawa kita dapat mengurangkan kes jangkitan di Sarawak dan akan dilaksanakan melalui satu kaedah di mana kita harus segera membuat ujian dan juga membuat pengasingan,” jelas Khairy Jamaluddin di sidang media selepas mengadakan Mesyuarat Khas Imunisasi dan Pengurusan Pandemik di Wisma Bapa Malaysia, pada Ahad.
Dalam sidang media yang sama, Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi JPBN Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas turut menekankan beberapa isu mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang masih perlu dipatuhi bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
“Kita telah menyampaikan beberapa isu sebentar tadi dan saya yakin kita dapat bekerjasama bersama Kerajaan Persekutuan dan dapat menjalankan usaha-usaha untuk melawan COVID-19.
“Seperti yang disebutkan Menteri Kesihatan, rakyat sendiri harus memainkan peranan masing-masing bagi menentukan kesihatan diri sendiri serta keluarga dan ikut SOP bukan kerana takut didenda tapi kerana mereka ingin menjaga kesihatan mereka,” jelasnya.
Sarawak sudah mencapai liputan vaksinasi yang tinggi dengan mencatatkan sebanyak 78 peratus daripada populasi remaja yang berusia 16 dan 17 tahun dan telah mendapat suntikan dos pertama vaksin COVID-19. -EDISI UKAS
Sumber dari : UKAS